Lombong haram REE: NRES, kerajaan negeri pantau bersama

Screenshot 2025 01 10 094159

KOTA BHARU: Pemantauan secara bersama terus dipergiatkan bagi memastikan tiada kegiatan perlombongan haram unsur nadir bumi (REE) di semua negeri.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, soal mineral sememangnya di bawah bidang kuasa negeri namun pihaknya tetap akan memantau bersama kerajaan negeri bagi memastikan dasar yang dibuat dapat dipatuhi.

"Kena kerjasama dengan kerajaan negeri sebab soal mineral adalah bidang kuasa negeri tapi kita akan memantau secara bersama.

"Kita pun ada ambil tindakan bila ada perlombongan haram dan sebagainya untuk memastikan dasar yang kita sudah tetapkan akan dapat dipatuhi.

"Seperti yang kita sedia maklum, dasar yang ada hari ini, perlombongan dibolehkan tapi pemprosesan itu perlu dibuat dalam negara, jadi itu dasar yang ditetapkan dan kita sudah berbincang dengan kerajaan negeri dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai bentuk pemantauan yang dibuat, beliau berkata, ia bergantung kepada lokasi iaitu jika di tanah hutan, pemantauan dijalankan oleh Jabatan Perhutanan negeri manakala untuk tanah milik swasta, ada mekanisme yang khusus.

Bagaimanapun sebarang kegiatan perlombongan memang dikawal malah peranan kerajaan negeri juga sangat penting kerana membabitkan sumber mineral.

"Kalau tanah hutan, Jabatan Perhutanan terbabit, kalau di tanah swasta pula, mekanisme lain tapi benda tu (perlombongan) ada kita kawal dan peranan kerajaan negeri pun besar lah sebab ini soal mineral," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan lebih 1.2 juta hektar kawasan atau 12,150 kilometer persegi (km2) yang berpotensi memiliki unsur nadir bumi (REE) di seluruh negara terdedah kepada kegiatan risiko perlombongan haram kerana kaedah melombong yang mudah.

Menurut Penyelidik di Pusat Kajian Gold, Rare Earth and Material Technopreneruship Centre (GREAT), Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Abdul Hafidz Yusoff, selain tidak memerlukan peralatan berat yang banyak, REE menjadi tarikan kegiatan haram itu kerana harga jualannya yang mahal.

Dalam kenyataannya lagi, proses untuk mendapatkan hasil REE itu jauh lebih mudah berbanding perlombongan lain seperti emas atau kuari serta aktiviti pembalakan.

Terdahulu Nik Nazmi hadir dalam majlis penyampaian 'mock title' bagi Skim Desa Seri Maju Padu Apartment kepada 40 pemilik kediaman, di sini, hari ini.

 

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input