MALAYSIA menekankan kepentingan kerangka industri mineral yang lestari serta keperluan untuk dunia menangani ketegangan geopolitik pada Sesi Meja Bulat Peringkat Menteri sempena persidangan Future Minerals Forum 2025 (FMF25).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, FMF25 menekankan peranan pentingnya dalam membincangkan mengenai mineral kritikal, pengurusan sumber mineral, tenaga boleh baharu, perlombongan lestari dan mempromosikan integrasi dalam industri mineral secara serantau dan global.
“Dalam sesi tersebut, saya telah membangkitkan kepentingan kerangka industri mineral yang lestari memandangkan mineral mempunyai peranan penting dalam peralihan tenaga dan kemajuan teknologi.
“Di samping itu, saya juga menekankan keperluan untuk dunia menangani ketegangan geopolitik bagi memanfaatkan teknologi terbaik pada kos yang lebih rendah,” katanya FMF25
menerima lebih daripada 20,000 peserta dengan menampilkan 250 ahli panel dalam lebih daripada 70 sesi.
Nik Nazmi berkata, delegasi Malaysia turut berpeluang melawat King Abdul Aziz City for Science and Technology (KACST), sebuah institusi penyelidikan kebangsaan yang ditubuhkan untuk memajukan pembangunan saintifik dan teknologi di Arab Saudi.
“Saya juga berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Bandar Alkhorayef dan ditemu bual beberapa agensi media antarabangsa.
“Saya turut berkongsi antaranya mengenai dasar pembangunan mineral negara, persaingan geopolitik dunia, cabaran pembangunan industri mineral, sumbangan industri kepada matlamat peralihan tenaga dan kemajuan teknologi, serta keperluan untuk penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam industri mineral, ” ujarnya dalam kenyataan.
Tambah beliau, melihat kepada kejayaan dan sambutan yang luar biasa FMF pada kali ini serta faedah kepada negara-negara yang menyertai, beliau telah meminta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengkaji kesesuaian Malaysia untuk turut serta dalam pameran di FMF akan datang.
Terdahulu, FMF25 bertemakan Years of Impact diadakan selama tiga hari bermula pada 14 sehingga 16 Januari di Riyadh, Arab Saudi. – WILAYAHKU