Screenshot 2024 12 30 160829

Kaedah Geofizik dalam Mitigasi Bahaya Tanah Runtuh

Monsun Timur Laut (MTL) adalah satu fenomena yang berlaku setiap tahun di Malaysia. Walaupun episod hujan lebat yang biasa dipanggil musim tengkujuh ini dijangka hanya berlaku di negeri-negeri di sebelah timur, namun begitu hujan lebat berterusan masih boleh berlaku di negeri-negeri lain sekiranya luruan monsun kuat dan adanya sistem cuaca tekanan rendah. Pada penghujung November 2024 baru-baru ini, hujan lebat akibat Monsun Timur Laut telah menyebabkan banjir besar di sembilan negeri di Malaysia, dengan Kelantan dan Terengganu paling teruk terjejas. Lebih daripada 150,000 orang terpaksa dipindahkan, dengan 633 pusat perlindungan sementara menempatkan keluarga yang terjejas. Bencana ini meragut enam nyawa dan menyebabkan kerosakan besar kepada sektor pertanian serta infrastruktur. Fenomena air pasang besar di beberapa kawasan juga menambahkan impak buruk terhadap penduduk sekitar. Rangkaian pengangkutan turut terjejas, menyukarkan usaha bantuan, sementara pasukan kecemasan menggunakan bot untuk menghantar bantuan. Walaupun usaha pemulihan sedang dijalankan, kerajaan kekal berwaspada terhadap kemungkinan gelombang kedua banjir, menekankan kepentingan persediaan bencana yang kukuh untuk mengurangkan kesan pada masa hadapan.

Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, hujan lebat berterusan dalam fasa MTL ini akan menyebabkan kejadian-kejadian tanah runtuh di kawasan-kawasan yang terlibat, terutamanya di kawasan tanah tinggi dan cenderung berlaku tanah runtuh sekaligus meningkatkan potensi kejadian aliran puing. Hal ini disebabkan oleh peningkatan ketepuan tanah akibat hujan lebat yang berterusan. Langkah proaktif perlu diambil oleh semua pihak seperti agensi-agensi kerajaan, penguatkuasa dan penduduk setempat bagi membuat persiapan menangani serta menghadapi kejadian berbahaya ini.

Apa Itu Aliran Puing?

Menurut Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, aliran puing ialah sejenis fenomena pergerakan tanah seakan aliran yang bergerak melalui saliran air curam yang sedia ada dengan sangat pantas. Aliran ini membawa bahan-bahan tepu air dan tidak diisih termasuk campuran tanah dengan pelbagai saiz butiran, bahan organik seperti kayu kayan dan bahan-bahan puing lain. Aliran puing membawa ancaman besar disebabkan pergerakannya yang pantas serta

 

keupayaannya mengangkut sejumlah besar bahan puing. Aliran ini boleh berlaku di kawasan yang mempunyai cerun curam dan permukaan yang telap, sering kali disebabkan oleh kejadian hujan lebat yang intensif. Ketidaktentuan dan kuasa pemusnah aliran puing menjadikan sistem amaran dan pengesanan awal penting untuk keselamatan awam.

Sumber utama bahan-bahan puing adalah dari bahan-bahan runtuhan akibat tanah runtuh. Oleh itu, kerja-kerja pemetaan potensi tanah runtuh di kawasan-kawasan tanah tinggi yang berpopulasi amat penting sebagai salah satu langkah bagi mengelakkan kejadian aliran puing. Salah satu pendekatan yang boleh digunakan dalam penilaian awal, kajian terperinci dan penyiasatan geoforensik adalah dengan menggunakan kaedah geofizik. Pemahaman yang lebih menyeluruh tentang mekanisme tanah runtuh, risiko dan strategi mitigasi boleh dicapai dengan menggabungkan data geofizik, data geologi, hidrologi, dan data persekitaran lain. Pendekatan bersepadu ini meningkatkan keberkesanan sistem amaran awal, pemetaan bahaya, dan penilaian kestabilan cerun bagi jangka panjang. Dalam konteks musim monsun timur laut di Malaysia, di mana kejadian tanah runtuh kerap berlaku, integrasi kaedah geofizik dalam penilaian awal dan usaha pemantauan berterusan dapat meningkatkan keupayaan membuat persediaan dan mengambil tindakan yang bersesuaian dalam menghadapi bahaya alam ini.

Kaedah Geofizik dalam Penilaian Tanah Runtuh

Antara kaedah-kaedah geofizik yang boleh digunapakai adalah analisis penderiaan jauh (remote sensing). Data geofizik daripada platform penderiaan jauh dapat memberikan penilaian bagi kawasan yang luas dalam masa yang singkat. Ini termasuk menganalisis imej satelit untuk mengenal pasti kawasan berpotensi terdedah kepada tanah runtuh berdasarkan ciri geomorfologi, perubahan penutupan tanah, dan indikator hidrologi. Teknik ini juga mampu mengesan pergerakan tanah yang kecil, menunjukkan aktiviti awal tanah runtuh. Seterusnya, struktur bawah permukaan dan perubahan kandungan kelembapan tanah, yang menunjukkan kawasan tanah yang tidak stabil boleh dikesan dengan menggunakan Radar Penembusan Tanah (Ground-Penetrating Radar). Teknik ini bersifat tidak invasif dan membolehkan penilaian dilakukan tanpa merosakkan keadaan di lapangan. Selain itu, kaedah Pengimejan Keberintangan Elektrik (Electrical Resistivity Imaging) pula mampu mengesan potensi zon yang cenderung kepada tanah runtuh dengan mengukur variasi keberintangan elektrik dibawah permukaan, mengesan perubahan komposisi tanah atau ketepuan air di dalam tanah.

Cabaran Penilaian Tanah Runtuh Menggunakan Kaedah Geofizik

Walaupun kaedah geofizik mempunyai sumbangan yang besar dalam penilaian dan penyiasatan tanah runtuh, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh penyelidik seperti penafsiran data dan akses lapangan. Mentafsir data geofizik memerlukan kepakaran khusus dan kadangkala memerlukan pengesahan lanjut. Bukan itu sahaja, kerja pengumpulan data juga akan menjadi sukar untuk dijalankan di kawasan terpencil seperti di kawasan pergunungan atau semasa kejadian tanah runtuh yang masih aktif.

Kesedaran Awam dan Strategi Mitigasi

Kesedaran awam terhadap risiko bahaya tanah runtuh dan aliran puing perlu ditekankan semasa musim tengkujuh ini. Semua pihak perlu sentiasa peka terhadap ramalan cuaca dan laporan berita tempatan mengenai kejadian tanah runtuh. Pihak berkuasa sebaiknya menyediakan kit kecemasan dan pelan pemindahan, terutamanya bagi penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi. Selain itu, penduduk setempat juga perlu beri perhatian kepada tanda amaran yang dipaparkan oleh pihak berkuasa dan elakkan memasuki kawasan larangan. Akhir sekali, jika terdapat sebarang pergerakan tanah atau kejadian tanah runtuh yang mencurigakan, sila laporkan kepada pihak berkuasa tempatan dengan segera.

Musim monsun timur laut di Malaysia menekankan keperluan kritikal untuk meningkatkan kesedaran dan persediaan terhadap bahaya tanah runtuh dan aliran puing. Meskipun terdapat beberapa cabaran yang akan dihadapi dalam penggunakan kaedah-kaedah geofizik ini, namun begitu, integrasi kaedah geofizik dengan pendekatan geologi dan hidrologi mampu memberikan pemahaman yang menyeluruh bagi menambahbaik sistem amaran awal dan strategi mitigasi. Dengan memanfaatkan kaedah ini dan memupuk kesedaran awam, kita boleh bekerjasama untuk mengurangkan impak bencana alam ini terhadap komuniti di seluruh Malaysia. Bersama-sama kita boleh meningkatkan keupayaan untuk meramal, bersedia, dan bertindak balas terhadap kejadian tanah runtuh, sekaligus melindungi infrastruktur dan mengurangkan jumlah mangsa yang terjejas semasa musim monsun timur laut yang mencabar ini.

Screenshot 2024 12 30 125258

 

KOTA BHARU: Lebih 1.2 juta hektar kawasan atau 12,150 kilometer persegi (km2) yang berpotensi memiliki unsur nadir bumi (REE) di seluruh negara terdedah kepada kegiatan risiko perlombongan haram kerana kaedah melombong yang mudah.

Selain tidak memerlukan peralatan berat yang banyak, REE menjadi tarikan kegiatan haram itu kerana harga jualannya yang mahal.

 

Penyelidik di Pusat Kajian Gold, Rare Earth and Material Technopreneruship Centre (GREAT), Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Abdul Hafidz Yusoff, berkata sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan dan negeri memberi tumpuan kepada pelombongan REE kerana ia mampu meningkatkan ekonomi negeri dengan hasil baharu.

Beliau yang juga Pengarah Bahagian Pengurusan Penyelidikan (RMD) UMK, berkata proses untuk mendapatkan hasil REE itu jauh lebih mudah berbanding perlombongan lain seperti emas atau kuari serta aktiviti pembalakan.

Pada masa sama, lokasi berpotensi itu berada di kawasan berbukit sekali gus menyukarkan pihak berkuasa untuk membuat pemantauan bagi mengelak ia dilombong pihak tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan rekod Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), 10 negeri yang dikenal pasti berpotensi miliki REE iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Selangor dan Sarawak dengan jangkaan nilaian sebanyak RM809.6 bilion

Daripada jumlah itu, Terengganu merekodkan kawasan berpotensi paling luas iaitu 575,000 hektar, Kelantan 205,000 hektar, Perak 135,000 hektar, Pahang 100,000 hektar, Kedah 90,000 hektar, Johor 45,000 hektar dan Melaka 10,000 hektar.

Pada 1 Jun lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pelan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Ketika ini SOP itu sudah siap dan kementerian sedang menyiapkan pelan yang meliputi pembangunan NR-REE dari peringkat perlombongan sehingga peringkat hiliran.

Abdul Hafidz berkata, proses untuk melombong bagi mendapatkan REE juga tidak membabitkan penggunaan jentera berat sebagaimana aktiviti perlombongan lain.

"Sebagai contoh untuk satu-satu kawasan yang dikenal pasti terdapat REE, mereka hanya menggunakan beberapa bahan untuk mendapatkan hasil iaitu memasukkan paip di dalam tanah berkenaan serta memasukkan bahan kimia tertentu dalam paip berkenaan.

"Dalam tempoh dua minggu atau sebulan, bergantung kepada kepadatan dan struktur tanah, bahan kimia berkenaan akan 'menarik' REE daripada tanah keluar melalui paip terbabit hasil tarikan graviti dalam bentuk cecair.

"Selepas itu, mereka akan memproses hasil cecair REE berkenaan menggunakan bahan kimia yang bersesuaian sebelum ia bertukar menjadi serbuk karbonat.

"Serbuk REE karbonat itu akan dijual dengan harga lebih AS$4,000 untuk satu tan dan permintaan terhadap sumber REE itu adalah tinggi," katanya kepada BH.

Abdul Hafidz yang juga Pensyarah Program Teknologi Mineral, Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi berkata, lokasi potensi REE di kawasan yang berbukit selain tidak memerlukan penggunaan jentera berat, menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan melakukan perlombongan haram.

Beliau berkata, lebih lambat sumber REE itu mengambil masa untuk dilombong oleh mana-mana negeri, besar kemungkinan negara berdepan kerugian lebih besar akibat perlombongan haram.

 

"Proses melombong REE di satu-satu kawasan hanya boleh dilakukan sekali dan sekiranya sudah dilombong pihak tidak bertanggungjawab itu, kerajaan negeri sudah kerugian kerana hasil REE di situ sudah habis.

"Justeru, pemantauan di lokasi yang dikenal pasti perlu dipertingkatkan oleh agensi berkaitan sekiranya kawasan berkenaan belum dilombong bagi mengekang kegiatan perlombongan haram.

"Malah, sekiranya mana-mana negeri termasuk Kelantan memberi tumpuan khusus kepada REE, ia boleh mengurangkan kebergantungan kepada hasil pembalakan," katanya.

Pada 9 Disember lalu, polis menahan 55 individu selepas membongkar kegiatan perlombongan REE disyaki secara haram di Gua Musang, Kelantan sebelum bahan itu dikumpul serta diproses di Banting, Selangor untuk dieksport.

Semua mereka ditahan menerusi Operasi Khazanah Khas 1/24 dalam tiga serbuan berasingan dengan dua serbuan di Gua Musang dan satu serbuan di Banting bermula jam 5.40 pagi.

Serbuan pertama dijalankan di sebuah lombong REE dipercayai beroperasi secara haram di FELDA Aring 8, Gua Musang pada jam 5.40 pagi sebelum menyerbu sebuah stor di lokasi berhampiran pada jam 8.40 pagi.

Serentak dengan serbuan itu, anggota polis menyerbu sebuah gudang di Kawasan Perusahaan Olak Lempit, Banting yang disyaki menjadi lokasi transit bahan REE yang disyaki dilombong secara haram di Gua Musang.

Hasil serbuan di Olak Lempit, polis menahan empat individu, iaitu seorang tempatan dan tiga warga asing, manakala di FELDA Aring, seramai 46 suspek ditahan termasuk lima tempatan, manakala bakinya terdiri daripada warga asing pelbagai warganegara.

Screenshot 2024 12 30 075843

Nilai pasaran unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang terdapat di 10 negeri di Malaysia dianggarkan sebanyak RM809.6 bilion, menunjukkan potensi besar negara dalam industri berkenaan.

Namun, masih ada kebimbangan mengenai impak negatif yang mungkin timbul daripada aktiviti perlombongan tersebut.

Ikuti laporan wartawan Nor Ain Abu Bakar.

Screenshot 2024 12 30 075357

Kemaman: Jabatan Perhutanan Terengganu (JPNT) menahan lima individu, termasuk warga asing, yang dipercayai terbabit dalam aktiviti mengesan unsur nadir bumi (REE) secara haram di Hutan Simpan Bukit Bandi, kelmarin.

Tindakan pantas JPNT berjaya menggagalkan usaha kumpulan ini yang turut membabitkan penggunaan peralatan khas untuk mengorek tanah dalam usaha mencuri hasil bumi berharga berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan, dipercayai ada sembilan individu berusia antara 20 hingga 56 tahun di lokasi terbabit, dengan lima daripada mereka ditahan, termasuk tiga warga Indonesia dan China, sementara empat lagi melarikan diri.

Pengarah Perhutanan Terengganu Datuk Norhaidi Yunus berkata, pemeriksaan pasukan Unit Operasi dan Penguatkuasaan JPNT terhadap lima individu terbabit mendapati mereka tidak memiliki kebenaran sah atau permit memasuki Hutan Simpan Bukit Bandi.

"Pasukan juga menemukan pelbagai peralatan yang digunakan oleh individu terbabit untuk mengorek lubang bagi mengambil contoh tanah bagi menentukan sumber mineral yang terdapat di kawasan terbabit. Peralatan terbabit disita.

"Difahamkan kumpulan terbabit mempunyai pengalaman luas mengesan kandungan REE. Mereka mengambil contoh tanah di kedalaman tertentu untuk dibawa pulang bagi ujian di makmal," katanya ketika dihubungi.

Katanya, pihak yang menceroboh kawasan hutan simpan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 32(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

Screenshot 2024 12 30 075006

KEMAMAN: Jabatan Perhutanan Terengganu (JPNT) mematahkan kegiatan disyaki cubaan mengesan unsur nadir bumi (REE) dalam kawasan Kompartmen Enam, Hutan Simpan Bukit Bandi, di sini, kelmarin.

Pengarahnya, Datuk Norhaidi Yunus, berkata terdahulu pasukan Unit Operasi dan Penguatkuasaan JPNT melakukan rondaan sebelum menjumpai sembilan individu berusia antara 20 hingga 56 tahun yang dilihat menjalankan aktiviti mengorek tanah di lokasi terbabit.

 

Beliau berkata, lima daripada mereka membabitkan dua warga tempatan serta tiga warga Indonesia dan China berjaya ditahan, manakala empat lagi melarikan diri ke dalam hutan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki kebenaran yang sah atau permit daripada pihak jabatan untuk memasuki Hutan Simpan Bukit Bandi.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati kumpulan terbabit dipercayai melakukan aktiviti mengorek tanah untuk mengesan kandungan REE sebelum bertindak lanjut.

"Pasukan turut menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan oleh mereka untuk mengorek lubang bertujuan mengambil contoh tanah bagi menentukan sumber mineral yang terdapat di kawasan terbabit. Peralatan terbabit kemudian disita.

"Difahamkan, kumpulan itu mempunyai pengalaman luas dalam mengesan kandungan REE. Mereka disyaki mengambil contoh tanah pada kedalaman tertentu untuk dibawa pulang dan bagi tujuan ujian di makmal," katanya ketika dihubungi, di sini.

Norhaidi menegaskan, JPNT tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh kawasan hutan simpan untuk apa juga tujuan.

Beliau memaklumkan untuk memasuki hutan simpan, pihak berkaitan perlu memiliki permit yang dikeluarkan jabatan.

Katanya, pihak yang menceroboh kawasan hutan simpan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 32 (1) Akta Perhutanan Negara 1984.

"Kita akan menyiasat dakwaan kumpulan terbabit yang mereka memiliki kebenaran daripada pihak tertentu untuk melakukan aktiviti mengesan REE dalam Hutan Simpan Bukit Bandi," katanya.

Adakah halaman ini membantu anda?

Invalid Input
Invalid Input
Invalid Input