TAPAH: Lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia membuka lembaran baharu kerjasama strategik dua hala dalam pelbagai bidang, termasuk sektor yang selama ini dianggap sensitif dan sukar diakses oleh negara luar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, antara teknologi yang bakal dikongsi adalah berkaitan pemprosesan sumber unsur nadir bumi (REE).
Malaysia sebelum ini mengeksport REE dalam bentuk mentah, namun kerjasama dengan China membolehkan teknologi pemprosesan dibangunkan dalam negara.
“Jika sebelum ini China tidak berkongsi teknologi, khususnya berkaitan REE, kini mereka bersedia berbuat demikian.
“Ini satu nikmat besar buat Malaysia. Kerjasama ini dijangka memberi nilai tambah tinggi kepada hasil eksport, sekali gus meningkatkan pulangan ekonomi.
“Jika kita hanya mengeksport dalam bentuk mentah, harganya rendah. Tapi jika diproses, nilainya melonjak sehingga 15 kali ganda berbanding bentuk mentah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis minum petang bersama penduduk Kampung Batu Tiga di Air Kuning, hari ini.
Beliau dalam masa sama menyeru kerajaan-kerajaan negeri agar bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi memastikan sumber nadir bumi yang merupakan hak negeri dapat dimanfaatkan secara optimum demi kepentingan negara.
Lawatan Presiden China itu tambahnya turut membawa impak positif kepada hubungan serantau, terutama atas kapasiti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, melalui komitmen China untuk mempercepatkan perjanjian perdagangan bersama ASEAN.
Difahamkan, pada penghujung Mei ini, ASEAN akan menganjurkan Sidang Kemuncak bersama negara-negara Teluk (GCC) serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China buat kali pertama.
“Perdagangan intra-ASEAN ketika ini masih rendah iaitu di bawah 25 peratus. Langkah memperkukuh hubungan ekonomi serantau penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran luar tradisi.
“ASEAN mempunyai banyak sumber, negara Teluk ada modal, dan China pula memiliki pasaran yang besar. Kita mahu satukan kekuatan tiga blok ini untuk membentuk ekosistem dagangan yang stabil dan saling melengkapi.
“Sidang ini bukan sekadar simbolik, tetapi akan membincangkan topik-topik konkrit yang boleh menjana manfaat besar kepada rantau Asia dan Timur Tengah,” katanya lagi.
Terdahulu, Xi Jinping berlepas ke Kemboja selepas menamatkan lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Lawatan kali ini merupakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan terakhir beliau pada tahun 2013.