Page 149 - pelan-pelaksanaan-geopark-negara
P. 149
134 PELAN PELAKSANAAN PELAN PELAKSANAAN
GEOPARK NEGARA
GEOPARK NEGARA
BAB 9 KOMPONEN 7: PENDIDIKAN AWAM
9.1 PENGENALAN
Pendidikan awam adalah proses menyampai dan memperoleh pengetahuan
umum, membina keupayaan berfikir untuk membina komuniti yang berpengetahuan
luas bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran anggota masyarakat dalam
menyahut cabaran pemuliharaan warisan geopark.
Elemen pendidikan awam adalah usaha berterusan bagi menjayakan hasrat
pewujudan geopark. Aktiviti pendidikan awam berupaya meningkatkan kesedaran dan
pengetahuan komuniti mengenai apa itu geopark dan betapa pentingnya keterlibatan
mereka dalam memelihara dan memulihara sumber warisan geopark. Pendekatan
pendidikan awam dan program bersesuaian perlu diperkenalkan dari awal
perancangan sesebuah geopark kepada kumpulan sasaran seperti pelajar sekolah
dan guru, penduduk setempat, pegawai pelaksana, pengusaha dan pemandu
pelancong. Geopark juga berperanan meningkatkan kesedaran dan pemahaman
tentang isu semasa yang dihadapi oleh masyarakat seperti penggunaan sumber
secara lestari, mitigasi kesan perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana alam.
9.2 KONSEP
Dalam konteks geopark, pendidikan awam dan program jangkauan komuniti
memfokus kepada alam tabii, sumber asli dan penekanan kepada pemuliharaan dan
perlindungan (Kriteria 1 dan 2). Pada masa yang sama menyedari akan kepentingan
mendidik masyarakat mengenai aktiviti pembangunan seimbang, pendidikan awam
geopark turut merangkumi aspek tuntutan pendidikan alam sekitar yang lebih luas
(UNESCO 1978) serta aspek pendidikan untuk pembangunan lestari (Agenda 21,
1992).