Page 65 - pelan-pelaksanaan-geopark-negara
P. 65

50   PELAN PELAKSANAAN                                                                                                                                                                              PELAN PELAKSANAAN
                                                                                                                                                                                                                 GEOPARK NEGARA
              GEOPARK NEGARA

               BAB 5          KOMPONEN 3: PEMERKASAAN WARISAN BUDAYA



               5.1     PENGENALAN


                       Usaha  pengurusan  pemuliharaan  dan  pemerkasaan  warisan  budaya  dan

               tradisi  setempat  penting  dalam  memastikan  kelangsungan  dan  kesinambungan

               sejarah  serta  penyerlahan  identiti  komuniti  tempatan  di  dalam  sesebuah  geopark.
               Gerakan secara kolektif untuk ‘menghidupkan masa silam demi masa depan’, dalam

               konteks pemuliharaan dan pemerkasaan warisan sama ada sumber tabii dan budaya
               adalah penting dalam mendepani cabaran arus pembangunan perdana. Hal ini dilihat

               melalui  keterancaman  daripada  segi  menyerlahkan  potensi  warisan  budaya  dan

               tradisi setempat semakin kritikal, seperti bahasa ibunda, ilmu watan, adat resam serta
               idea pemikiran yang tergugat.


                       Oleh itu, geopark sebagai peraga pembangunan lestari wilayah dilihat sebagai
               satu alat untuk menyerlahkan keistimewaan dan keunikan sesebuah kawasan yang

               sumber  warisan  geologi,  biologi  dan  budaya  wujud  secara  bersepadu.  Keterikatan
               ketiga-tiga sumber warisan ini perlu diberi pendedahan kepada komuniti tempatan,

               pihak berkuasa  dan  semua yang berkepentingan  agar  mereka  lebih prihatin dan

               bertanggungjawab dalam usaha pengurusan sesebuah geopark. Kekayaan khazanah
               warisan tabii dan budaya merupakan faktor yang menyokong  pertumbuhan ekonomi

               secara  lestari  bagi  sesebuah  geopark  khususnya  melalui  perkembangan  kegiatan
               geopelancongan, ekopelancongan, pelancongan warisan dan pelancongan desa, di

               samping perkembangan perkhidmatan sokongan yang  lain.


                       Justeru,  cabaran  sebenar  pengurusan  pemuliharaan  dan  pemerkasaan
               warisan budaya bukan hanya daripada segi teknik pemuliharaan objek warisan dan

               kawasan yang bernilai warisan tinggi tetapi juga dari segi konteks sosial bagaimana
               komuniti setempat dan pihak berkuasa menyelami maksud warisan dan mendapat

               manfaat  melalui  nilai  warisan  yang  diperolehi.  Hal  ini  juga terkait  dengan peranan
               masyarakat setempat dan pihak berkepentingan dalam membangun dan  memulihara

               khazanah warisan secara berterusan dan lestari.
   60   61   62   63   64   65   66   67   68   69   70