Page 35 - Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030
P. 35
PELAN PEMBANGUNAN GEOPARK NEGARA 2021-2030 PELAN PEMBANGUNAN GEOPARK NEGARA 2021-2030
3.0 GEOPARK KEBANGSAAN
Malaysia telah membangunkan sumber warisan geologi untuk pelancongan
sejak tahun 1996 di bawah Projek Penyelidikan IRPA No. 02-02-02-0006 yang
bertajuk “Sumber Geologi untuk Pembangunan Ekopelancongan” di Institut Alam
Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM dengan kajian awal di Langkawi dan
Taman Kinabalu. Pada masa yang sama, sebuah kesatuan tidak rasmi, Kumpulan
Warisan Geologi Malaysia (KWGM) terdiri daripada beberapa ahli geologi telah
ditubuhkan bagi mengkoordinasi penyelidikan dan pembangunan projek tersebut.
Hasil separuh penggal penyelidikan IRPA tersebut telah dibentangkan kepada
Ibu Pejabat JMG pada 1997 bagi mempelawa JMG terlibat bersama dalam
membangun dan mengembangkan konsep penggunaan sumber geologi untuk
pembangunan ekopelancongan. Penyelidikan ini juga telah memperkenalkan konsep
geologi pelancongan dan geologi pemuliharaan. Hasil penyelidikan ini telah mencetus
idea untuk menjadikan Langkawi sebagai geopark pertama di Malaysia .
Sejak tahun 2007, Malaysia melalui Langkawi UGGp dan KWGM telah menjadi
perintis pembangunan warisan geologi dan geopark di Asia Pasifik. Pada tahun yang
sama, JMG telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi melaksanakan gerak kerja sumber
warisan geologi dan pembangunan geopark.
Pada tahun 2013, JMG dengan kerjasama KWGM telah mewujudkan
Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan yang bertujuan menggerakkan
pembangunan geopark di Malaysia negeri. Jawatankuasa Pelaksana Geopark terdiri
daripada pakar dalam pelbagai disiplin ilmu yang diperlukan untuk pembangunan
geopark.
Jawatankuasa Geopark Kebangsaan telah memperakui Jawatankuasa
Pelaksana Geopark sebagai pasukan teknikal bagi membantu urusan-urusan
berkaitan permohonan dan pembangunan awal geopark di Malaysia.
20