Page 10 - pelan-pelaksanaan-geopark-negara
P. 10

PRAKATA



           KETUA SETIAUSAHA
           KEMENTERIAN SUMBER ASLI,
           ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM (NRECC)



           Assalamualaikum w.b.t dan Salam Malaysia Madani,

           Pelan Pelaksanaan Geopark Negara merupakan satu elemen penting dalam pengurusan sesebuah geopark
           dan merupakan tahap perancangan tertinggi yang memperlihatkan hala tuju sesebuah Geopark Kebangsaan
           seterusnya ke arah pengiktirafan UNESCO Global Geopark (UGGp) pada jangka masa panjang yang disasarkan
           untuk suatu tempoh yang sesuai. Menyedari akan kepentingannya, satu dokumen yang komprehensif telah
           dihasilkan  bagi dijadikan  rujukan dan panduan  Kementerian  Sumber  Asli,  Alam Sekitar dan Perubahan
           Iklim (NRECC) serta agensi berkepentingan di peringkat persekutuan dan negeri pada masa kini dan masa
           hadapan, di mana gerak kerja inisiatif pembangunan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara telah dimulakan
           sejak penghujung tahun 2019.

           Keperluan  untuk mempunyai  strategi dan program  yang berkesan  dilihat  sangat wajar  memandangkan
           permintaan semasa agenda pembangunan negara serta hasrat kerajaan negeri atau agensi yang berminat
           bagi menjadikan kawasan-kawasan yang berpotensi untuk pengiktirafan Geopark Kebangsaan dan UGGp.
           Justeru, dalam usaha mendepani cabaran selain memenuhi ekspektasi pemegang taruh dan pelanggan, pelan
           ini dibangunkan dengan mengkonsolidasi peranan, fungsi dan keperluan kementerian, jabatan serta agensi
           sama ada di peringkat persekutuan dan negeri secara bersistem dan terurus.

           Sehubungan  itu, pendekatan  the whole of government dan the whole of society telah diadaptasi  bagi
           membangunkan dokumen Pelan Pelaksanaan Geopark Negara yang holistik seterusnya berupaya memacu
           pelaksanaan  berimpak  tinggi dan hasil yang nyata, selari dengan  visi dan misi kementerian.  Penentu
           kejayaan  pelaksanaan  pelan ini juga  dicetus dengan  kerjasama  strategik dan komitmen daripada  semua
           pihak berkepentingan sesuai dengan misi NRECC ‘Menerajui Tadbir Urus Sumber Asli Secara Bersepadu
           untuk Kesejahteraan Negara.’ Dalam hal ini, NRECC mengguna pakai konsep pembangunan geopark yang
           menerapkan elemen pendidikan, pembangunan lestari dan pemuliharaan sumber warisan (geologi, biologi dan
           budaya).


           Pelan ini perlu dilaksanakan dengan lancar dan terselaras. Dalam hubungan ini, Jawatankuasa yang bakal
           dibentuk di peringkat Kerajaan Negeri/Agensi berkaitan boleh berperanan bagi memastikan semua strategi dan
           program yang terkandung dalam dokumen ini dapat dilaksanakan berdasarkan piawai yang ditetapkan NRECC
           dan UNESCO Global Geopark. Syabas kepada seluruh warga kerja Bahagian Geosains, NRECC dan Jabatan
           Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta agensi-agensi serta ahli pakar-pakar bidang berkaitan yang telah
           sama-sama menggembleng tenaga dalam penghasilan dokumen PPGN tahun ini. Akhir sekali, saya berharap
           semoga penerbitan dokumen ini dapat memberi hala tuju dan panduan yang jelas kepada jabatan dan agensi
           sama ada di peringkat Persekutuan dan Negeri dengan jayanya.


           YBHG. DATO’ HJ. ROSLI BIN ISA
           KETUA SETIAUSAHA
           KEMENTERIAN SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN
           PERUBAHAN IKLIM (NRECC)






                                              ix
   5   6   7   8   9   10   11   12   13   14   15