Page 32 - Garis Panduan Perolehan Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT) Kerajaan
P. 32
Garis Panduan Perolehan ICT Kerajaan
BAB 2
PERANCANGAN PEROLEHAN ICT
Perolehan ICT boleh dikategorikan sebagai perolehan berisiko tinggi terutamanya apabila
mengambil kira kompleksiti dan perubahan teknologi yang begitu pantas. Sehubungan itu,
Agensi perlu merancang dengan teliti untuk mengenal pasti strategi dan pendekatan perolehan
yang sesuai dilaksanakan. Pelaksanaan perolehan ICT hendaklah selaras dengan ICT Strategic Plan
(ISP) Agensi dan mematuhi peraturan perolehan semasa. Ia juga mengambil kira dasar-dasar
perolehan seperti keutamaan barangan buatan tempatan dan keutamaan Bumiputera tanpa
kompromi terhadap mutu dan persaingan yang sihat.
Perancangan perolehan ICT memerlukan pemahaman yang mendalam terhadap keperluan
keseluruhan untuk melaksanakan perolehan tersebut seperti halatuju yang ingin dicapai oleh
Agensi, polisi, kekangan kewangan, skop dan objektif, serahan, perancangan sumber manusia,
faedah yang diharapkan, risiko yang mungkin dihadapi dan sebagainya.
Bagi mengelakkan kegagalan dan memastikan perolehan ICT memberi faedah yang diharapkan,
langkah pertama yang perlu dibuat adalah mewujudkan perancangan rapi yang meliputi perkara-
perkara berikut (rujuk Carta Aliran Proses Perancangan Perolehan ICT):
2.1 Kenal Pasti Keperluan
2.1.1 Agensi perlu memastikan benar-benar wujud keperluan untuk melaksanakan
projek yang dicadangkan. Perolehan ICT hendaklah berasaskan keperluan
sebenar yang dikenal pasti dengan teliti serta menetapkan faedah yang
diharapkan. Untuk meningkatkan kebarangkalian kejayaan perolehan tersebut,
keperluan perolehan perlu difahami dengan mendalam melalui aktiviti
pengumpulan maklumat dan analisa yang terperinci.
2.1.2 Proses mengenal pasti keperluan ini hendaklah dilaksanakan secara komprehensif
dan exhaustive mengikut keperluan sebenar.
2.1.3 Bagi projek yang kritikal dan memberi impak tinggi kepada Kerajaan, Agensi
hendaklah mengenal pasti keperluan memperoleh khidmat jaminan kualiti/
pengujian perisian ke atas perolehan aplikasi/sistem ICT dari pihak ketiga
(Independent Validation and Verification – IVV) bagi memastikan projek tersebut
memenuhi standard yang ditetapkan.
2.1.4 Agensi hendaklah memastikan pihak ketiga tersebut sama ada individu atau
syarikat mendapat pengiktirafan/akreditasi dari Jabatan Standard Malaysia. Pihak
ketiga yang dilantik hendaklah terlibat secara langsung dari peringkat mula
pembangunan sistem hingga peringkat penyerahan kepada Kerajaan.
22