Page 22 - Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030
P. 22
PELAN PEMBANGUNAN GEOPARK NEGARA 2021-2030 PELAN PEMBANGUNAN GEOPARK NEGARA 2021-2030
keseluruhan negara. Usaha ini akan disokong oleh pelaburan dan kemudahan
pembiayaan hijau sektor awam dan swasta yang bersesuaian. Strategi pertumbuhan
hijau bukan sahaja akan memastikan kesihatan bumi dan kualiti hidup yang lebih baik,
malah meningkatkan daya tahan negara serta memulihara dan melindungi alam
sekitar untuk generasi masa kini dan yang akan datang. Strategi ini juga akan
menjadikan ekonomi lebih mampan, inovatif dan berdaya saing serta mewujudkan
peluang pertumbuhan ekonomi yang baharu. Hal ini selaras dengan Pelan
Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 yang memberi impak kepada ekonomi
sosial dan alam sekitar.
Seiring dengan agenda pertumbuhan hijau ini, konsep Geopark dilaksanakan
untuk memanfaatkan sumber warisan geologi sedia ada yang amat berharga dan tidak
dapat diperbaharui kerana mengambil masa jutaan tahun untuk pembentukannya.
Sumber asli ini seharusnya dikekalkan dan dipulihara untuk faedah generasi masa
kini dan akan datang. Konsep geopark ini telah terbukti berkesan dalam
memperkembangkan industri pelancongan negara yang didorong oleh pembangunan
perbandaran yang terancang, pembinaan prasarana sebagaimana berlaku di
Langkawi UGGp melalui geotrail di tiga kawasan konservasi iaitu Machinchang
Cambrian Geoforest Park, Kilim Karst Geoforest Park dan Dayang Bunting Marble
Geoforest Park. Antara impak daripada kawasan konservasi tersebut adalah
peningkatan taraf sosio-ekonomi komuniti setempat, taraf pendidikan, kesedaran
awam, serta jaringan rangkaian antara geopark dan komuniti.
Pembangunan geopark berupaya meningkatkan industri pelancongan dengan
menerapkan elemen geosains dalam aktiviti geopelancongan dan rekreasi alam
semula jadi. Ia akan membuka peluang yang luas bagi pertumbuhan pelbagai industri
sokongan termasuk sektor perkhidmatan penginapan (resort, hotel, homestay dan
tapak perkhemahan), pengangkutan, kulinari dan penghasilan produk cenderamata.
Produk tempatan yang menjadi identiti sesebuah wilayah atau daerah boleh dijenama
dan dikomersialkan sebagai produk geopark.
Geopark sebagai agenda pembangunan lestari wilayah dan negara telah
menjadi aspirasi di peringkat global yang berasaskan pendekatan; (i) meraikan
warisan alam bernilai istimewa, (ii) memperkasa komuniti setempat, (iii) menyediakan
peluang ekonomi baharu, (iv) meningkatkan kebahagiaan dan kesepaduan bangsa,
dan (v) pelaksanaan secara lestari.
7